Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Malaysia membeli banyak produk daripada EU termasuk pesawat Airbus daripada Perancis, sedangkan negara berkenaan ibarat tidak tahu ‘membalas budi’ apabila berbuat demikian terhadap hasil negara itu.

Katanya, berdasarkan maklumat, Perancis telah bertindak mengetuai kempen memburuk-burukkan minyak sawit negara sehingga telah menjejaskan imej produk berkenaan di dunia.

“Justeru pada masa ini, menteri yang terlibat (Kementerian Industri Utama) telah berusaha keras untuk memulihkan imej minyak sawit di EU,” katanya dalam sidang akhbar semasa majlis minum petang bersama media sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘19) di Resort World di sini, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia akan bertindak balas termasuk kemungkinan membeli pesawat pejuang dari China sekiranya EU terus mengenakan sekatan terhadap minyak kelapa sawit dari negara ini.

Tegas Perdana Menteri, sekatan berkenaan semata-mata bagi menjaga kekayaan ekonomi EU dan dilakukan secara tidak adil.

Dalam pada itu, Mohamad menyifatkan pergolakan dalaman Pakatan Harapan (PH) sehingga dikatakan mendorong

peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Sabtu lalu, adalah seperti mana perhubungan antara suami isteri.

“Suami isteri pun kadang-kadang ada masalah,” katanya sambil memberitahu, parti-parti dalam kerajaan walau bagaimanapun masih berhubungan dengan setiap keputusan diputuskan secara bersama.

Beliau diminta mengulas isu peletakan jawatan Nurul Izzah sebagai anggota PAC kerana bertegas bahawa jawatan kepimpinan jawatankuasa itu perlu dipegang oleh wakil pembangkang. - UTUSAN ONLINE