Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Siti Hajar Mubin berkata, langkah berkenaan penting bagi membela nasib golongan berkenaan dengan memastikan mereka kembali ke pangkal jalan dan me­lalui kehidupan yang normal.

“Wanita UMNO negeri menolak sekeras-kerasnya cadangan daripada kumpulan penyokong LGBT supaya kerajaan mengiktiraf golongan ini bagi mereka memperjuangkan hak mereka kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam serta fitrah manusia.

“Kita menghormati golongan berkenaan dan meminta kerajaan mencari jalan yang terbaik mengatasi isu ini. Kalau masalah penyalahgunaan dadah ada disediakan pusat pemulihan, begitu juga LGBT yang memerlukan sebuah pusat pemulihan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Himpunan Solidariti Tolak LGBT di Dewan UMNO Temerloh di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin dan Ketua Wanita UMNO Temerloh, Juhanis Abdul Aziz.

Kira-kira 250 orang yang terdiri daripada wakil pelbagai ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Wanita UMNO menyertai perhimpunan anjuran Wanita UMNO negeri itu.

Majlis pada pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan solat sunat duha dan solat hajat sebelum ceramah agama yang disampaikan oleh penceramah bebas, Nabil Fiqri Nor Azmi.

Menurut Siti Hajar, tiada jalan lain yang terbaik dalam mengatasi isu itu melainkan mengembalikan semula golongan tersebut kepada ajaran agama Islam dan mengamalkan kehidupan normal.

Katanya, peraturan dan undang-undang negara sudah jelas mengharamkan liwat dan seks songsang berdasarkan kepada Seksyen 377A-D Kanun Keseksaan.

“Pengiktirafan terhadap kumpulan ini akan memberi kesan negatif kerana menggalakkan ia berkembang dan tidak mustahil selepas ini banyak lagi tuntunan seperti perkahwinan sejenis malah pelacuran pun akan berlaku atas dasar kebebasan hak,” katanya.