Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, cadangan larangan itu susulan daripada penguatkuasaan larangan merokok di premis makan dan dalam bangunan di kawasan Parlimen.

"Kami (Kementerian Kesiatan) sudah melakukannya di Parlimen dan restoran, dan sekarang mungkin akan memperluaskannya ke universiti.

"Kami merancang untuk menguatkuasakannya di semua universiti termasuk awam dan swasta. Ia mungkin dalam tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran Buku Fakta Industri Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA) edisi 2018 oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden PhAMA, Chin Keat Chyuan.

Kementerian Kesihatan pada Oktober lalu menguatkuasakan larangan merokok dalam bangunan di kawasan Parlimen, manakala pada 1 Januari lalu pula larangan merokok di premis makan dikuatkuasakan.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata, kerjasama antara industri penjagaan kesihatan dan Kementerian Kesihatan adalah amat penting memandangkan populasi warga tua di Malaysia dijangka mencecah 3.4 juta menjelang 2020. - UTUSAN ONLINE