Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar, menjelaskan perbelanjaan menanggung pemeliharaan panda itu sepanjang tahun ini berjumlah RM4.6 juta dan dijangka meningkat kepada RM7.3 juta bagi tahun depan.

Kata beliau ketika menggulungkan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya, peningkatan itu juga disebabkan terdapat pembayaran yuran penjagaan anak panda tersebut lebih RM2 juta.

Jelasnya, mengikut perjanjian antara pihak Malaysia dengan China, panda gergasi itu akan ditempatkan di Malaysia sehingga tahun 2024 dan semakan perjanjian akan dilakukan pada tahun depan.

Penjelasan itu kemudiaannya dicelah oleh beberapa ahli Parlimen termasuk Lukanisman Awang Sauni (PBB-Sibuti) yang mencadangkan keluarga panda itu dikembalikan kepada China.

“Sekiranya berunding semula, Sibuti cadangkan kerajaan hantar balik kerana saya rasa sudah cukup untuk kita memelihara panda itu,” katanya ketika mencelah.

Xavier Jayakumar bagaimanapun menjelaskan, penempatan panda itu mungkin ada kaitan dengan kerjasama Malaysia-China.

Kerajaan Malaysia telah menerima sepasang panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang daripada Kerajaan China pada 21 Mei 2014 sebagai tanda meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.-UTUSAN ONLINE