Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, cadangan itu dibuat bagi menyelesaikan masalah perkahwinan di bawah umur terutamanya melibatkan kanak-kanak perempuan.

“Untuk tempoh masa panjang pihak kementerian juga akan menjalin kerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa bagi menaikkan umur minimum perkahwinan.

“Cadangan ini termasuk melibatkan Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Akta 1984, Ordinan Undang-Undang Keluarga Islam (Sarawak) 2001, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi setiap negeri, Akta Perkahwinan dan Perceraian 1976 dan undang-undang adat bagi setiap kumpulan etnik di Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, satu pertemuan juga akan diadakan bersama semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita dan kanak-kanak, ulama dan mufti serta pihak mahkamah syariah bagi menyelesaikan isu tersebut.

Dalam pada itu, menyentuh isu perkahwinan melibatkan seorang lelaki berumur 41 tahun bersama seorang kanak-kanak berumur 11 tahun di Kelantan bulan lalu, katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

“Pihak kementerian berharap siasatan tersebut dapat diselesaikan dengan segera supaya tindakan undang-undang yang bersesuaian dapat diambil.

“Pada masa sama, kementerian dan pihak Peguam Negara juga sedang bekerjasama bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan hak kanak-kanak tersebut dijaga,” katanya.