Menurut beliau, pembinaan stesen di kawasan itu mampu menyuntik sokongan kepada pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) yang dirancang di kawasan Nilai, Seremban sehingga Port Dickson.

“Saya akan usaha untuk perjuangkan sebuah stesen di Nilai. ECRL adalah projek besar dan perlu diberi perhatian. Manfaatnya bukan sahaja kepada negeri-negeri Pantai Timur tetapi juga kepada Negeri Sembilan,” katanya.

Anthony (DAP-Chennah) berkata demikian semasa membahaskan usul menjunjung titah ucapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sempena Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, perubahan jajaran projek ECRL yang akan turut melibatkan Jelebu, bakal membawa banyak manfaat kepada pembangunan ekonomi di daerah berkenaan.

“Sudah tentu bukan hanya ada landasan, mesti ada stesen. Kawasan sekitar Kuala Klawang dan Chennah serta Parlimen Jelebu akan dapat tempias.

“ECRL bukan sahaja fokus penumpang tetapi juga kargo yang menghubungkan Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang. Penyambungan antara pelabuhan menjadikan kawasan sekitar jajaran sesuai untuk kawasan perindustrian dan kilang-kilang,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, limpahan pembangunan juga akan dapat dilihat dalam sektor pertanian dan pelancongan kerana Jelebu mempunyai lokasi dan potensi yang baik bagi kedua-dua sektor.

“Saya minta kerajaan negeri perlu siap sedia buat perancangan. Pembinaan bagi projek ECRL akan disambung semula bulan depan. Bagi jajaran baharu mungkin ambil masa untuk kajian dan laporan EIA (Kajian Impak Alam Sekitar),” ujarnya. - UTUSAN ONLINE