Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, faktor lain termasuklah masalah kemiskinan, sikap murid yang tidak mempunyai minat, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat, sakit, masalah sosial dan masalah pembelajaran.

"Bagi membendung masalah ini, kementerian telah menyediakan pelbagai skim bantuan yang diteruskan sejak dahulu lagi termasuk biasiswa bagi murid yang berpendapatan rendah cemerlang iaitu Biasiswa Kecil Persekutuan.

"Kementerian Pendidikan juga telah melaksanakan inisiatif peningkatan akses daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas untuk menangani keciciran murid ke sekolah. Malah pihak kementerian turut telah mengeluarkan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir Di Sekolah atau GPMBC pada 1 Jun lalu dengan sasaran penurunan kes keciciran murid," katanya sewaktu sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Awang Husaini Sahari (PH-Putatan) yang bertanyakan jumlah murid yang tidak meneruskan sekolah dari darjah enam ke tingkatan satu dan alasan tidak menyambung persekolahan.

Sementara itu, menurut Maszlee, kadar transisi murid dari sekolah rendah ke tingkatan satu mulai tahun 2014 hingga 2017 telah menunjukkan peningkatan iaitu daripada 95.06 peratus kepada 97.52 peratus.

"Peratus keciciran murid di sekolah rendah juga menunjukkan penurunan iaitu daripada 0.34 peratus kepada 0.29 peratus. Sasaran bagi tahun 2019 untuk keciciran di sekolah rendah adalah 0.27 peratus," katanya.- UTUSAN ONLINE