Bagi insan istimewa, Mohd Khairi Othman, 42, yang dilahirkan cacat sejak lahir tanpa kaki dan tangan sempurna, beliau berasa amat bertuah kerana mampu berdikari bagi melakukan hal itu sebagaimana ibu bapa yang lain.

"Saya amat bersyukur kerana diberikan rezeki oleh tuhan untuk menyediakan segala kelengkapan dan pakaian sekolah untuk anak saya, Muhammad Tasnim, 7, yang mula bersekolah dalam darjah satu hari ini.

"Dahulu saya tidak pernah terfikir akan berumah tangga, memiliki cahaya mata dan kini mampu pula menghantarnya ke sekolah ekoran kekurangan pada diri saya.

"Namun segala yang terjadi seolah-olah impian menjadi kenyataan dan kegembiraan ini dikongsi bersama isteri tersayang, Zaleha Nafis, 44, yang banyak berkorban serta sentiasa memberi sokongan," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Tanjung Pulai di sini hari ini.

Mohd Khairi berkata beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat anak lelaki tunggalnya itu berjaya dalam pelajaran sekali gus menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara suatu hari nanti.

"Selepas tamat belajar di Taska Pulau Manis tahun lalu, Muhammad Tasnim sekarang masuk ke Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, Pekan.

"Saya sering menasihatkan dia agar belajar bersungguh-sungguh kerana saya tidak sempurna seperti bapa lain, bagi menyara keluarga, saya terpaksa bertungkus lumus melakukan pelbagai kerja termasuk membuka kedai runcit dan menternak ikan sebelum ini.

"Muhammad Tasnim saya perhatikan adalah seorang kanak-kanak bijak, aktif dan memahami keadaan kami. Jadi tidak hairanlah jika dia fokus dalam segala hal yang dilakukan termasuk belajar serta bersukan selain menyimpan cita-cita menjadi seorang pegawai tentera," katanya.

Zaleha pula mengakui berbangga dengan kegigihan suaminya yang berusaha untuk menyara keluarga meskipun kurang upaya.

"Dahulu suami saya menternak ikan sangkar di tepi Sungai Pahang tetapi setelah beberapa kali tidak menjadi, kami mengambil keputusan membuka kedai runcit di kampung ini. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan ketekunan suami, kami dapat menjalani kehidupan secara sederhana.

"Saya kagum dengannya kerana tidak pernah mengeluh dengan segala kesulitan dialami, lebih istimewa dia mampu untuk membesarkan anak dan mahu memberi pelajaran yang terbaik kerana menyedari pentingnya pengetahuan untuk masa depan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Tasnim berkata, dia amat teruja untuk memulakan sesi persekolahan hari ini kerana dapat belajar dan berjumpa kawan baharu di sekolah.

"Seronok dapat pergi ke sekolah kerana saya dapat belajar, saya hendak tolong emak dan ayah bila besar nanti.Selain itu, saya dapat berkawan dengan rakan baharu dan bermain dengan mereka pada waktu rehat," katanya.

Pada tahun 2010, Bernama pernah melaporkan tentang perkahwinan Mohd Khairi yang hanya mempunyai tangan sehingga paras siku dan tanpa kaki, melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya, Zaleha di Masjid At-Taqwa di sini selepas setahun mereka berkenalan. - BERNAMA