Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Hazura Ahmad Halil berkata, syarikat pengeluar motosikal Demak, DNC Asiatic Holding Sdn. Bhd. bersetuju untuk menaja lima motosikal untuk Cabutan Bonanza Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2017 sempena kejohanan itu.

Menurutnya, motosikal yang ditaja dan akan dibawa pulang oleh pengunjung bertuah itu ialah Demark Skyline, Demak DTM200, Demak Eco110 dan Demak DJ90 yang semuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

“Cabutan bertuah diadakan dalam tiga peringkat iaitu ketika majlis pelancaran pada 28 September ini di Kompleks Belia Dan Sukan Paroi, Negeri Sembilan, peringkat saringan di lokasi sama pada 30 September ini dan peringkat akhir di Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 1 Oktober ini.

“Untuk menyertai cabutan bertuah ini juga mudah iaitu hanya perlu mengumpulkan empat keratan kepala akhbar Utusan Malaysia bermula 14 Ogos lalu sehingga 1 Oktober ini dan menghantarnya berserta butiran peribadi ke Ibu pejabat Utusan Melayu Berhad serta hadir ke tiga peringkat pengumuman cabutan bertuah itu,” katanya dalam majlis penyerahan penajaan lima motosikal itu di Kawasan Perindustrian Olak Lempit di sini hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Kumpulan DNC Asiatic Holding Sdn. Bhd., Adam Kasim berkata, penajaan lima motosikal itu bertujuan menghargai pembaca Utusan Malaysia dan peminat yang terus menyokong sukan sepak takraw.

“Sebagai sebuah syarikat pembuat motosikal tempatan, kami merasa terpanggil untuk turut sama membantu meningkatkan populariti dan pembangunan sukan sepak takraw yang merupakan sukan tradisi negara.

“Selain itu ini juga adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat dari dekat model motosikal keluaran syarikat kami yang mana kami telah mengeluarkan 20 model,” kata­nya.