Dalam usia muda 22 tahun, tiada ahli keluarga yang menemani pemergiannya ke Tanah Suci, malah rakan-rakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sendiri tidak percaya dia akan mengerjakan haji.

Namun, pengalaman me­ngerjakan umrah sebelum ini banyak membantu, selain pertolongan rakan-rakan sebilik yang boleh dipanggil abang dan bapa.

“Datang secara solo kena bergantung kepada rakan-rakan. Mereka banyak membantu, begitu juga Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji),” katanya ditemui di Abraj Al Janadriyah di sini.

Siswa jurusan Akaun itu memberitahu, penerbangannya ke Tanah Suci sepatutnya pada 6 Ogos, tetapi tarikh itu agak lambat baginya yang terpaksa memulakan semester baharu pada September ini.

Justeru katanya, dia membuat permohonan kepada Ta­bung Haji untuk mendapat penerbangan awal dan diluluskan.

“Ibu daftarkan saya dengan Tabung Haji sejak kecil dan dapat panggilan mengerjakan haji pada 2010 dengan keluarga, tapi ketika itu saya masih terlalu muda, jadi kali ini saya kena datang sendirian,” kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Firdaus bukan satu-satunya jemaah muda yang ditempatkan di dalam biliknya di Abraj AlJanadriyah, malah Mohammad Soleh Md. Radzai, 23, turut mengerjakan haji bersendirian.

Kakitangan sebuah syarikat swasta di Melaka itu terpaksa datang bersendirian meman­dangkan empat lagi adik-ber­adiknya termasuk seorang ka­kak yang juga mendapat panggilan haji tahun ini tidak dapat bersamanya kerana mempunyai komitmen.

“Mula-mula rasa seronok dapat pergi beramai-ramai, tapi adik-beradik ada yang baru kahwin, ada yang baru mempunyai anak, jadi saya yang tiada komitmen ini datang seorang,” katanya.

Namun kata Mohammad Soleh, dia dan Mohd. Firdaus beruntung kerana rakan sebilik berusia 30-an dan 40-an yang juga datang bersendirian banyak membimbing mereka termasuk melakukan sesi taklim iaitu menyampaikan ilmu agama.

“Mereka banyak memberi nasihat kepada kami yang masih muda,” katanya.