Namun, Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Dr. Sariah Abdul Jalil berkata, cabaran utama yang perlu ditempuh guru-guru adalah bagaimana untuk menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran inovatif, efektif dan berkualiti serta relevan dengan keadaan semasa.

Justeru itu, kata beliau, sebagai platform pendidikan kepada guru-guru baharu, institusi itu berperanan penting dalam memastikan setiap pelajar tampil kreatif dan inovatif, berpersonaliti tinggi serta mempunyai pemikiran luas bagi menghubungkan pelbagai disiplin sekali gus mencipta ilmu baharu bertaraf dunia.

“Untuk mendepani cabaran ini, guru secara konsisten perlu mengemaskini pengetahuan dan kompetensi yang inovatif supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. IPG sentiasa menegaska keperluan menerapkan pemikiran kreatif dan inovatif dalam program latihan perguruan melalui pendekatan lebih interaktif dan hubungan dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Tugas dan tanggungjawab IPG semakin mencabar. Semua ini terletak di bahu pensyarah dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan. Sudah tentu pensyarah dan siswa pendidik perlu memiliki ciri inovatif dan bersedia menghadapi perubahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutup Hari Akademik dan Inovasi Pendidikan Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Jabatan Pengurusan Kualiti dan Keutuhan IPG, Dr. Azma Mahmud.

Hari Akademik dan Inovasi Pendidikan IPGKBA 2017 dianjurkan selama dua hari bermula semalam bertujuan memberi peluang kepada warga kampus untuk berkongsi ilmu dan maklumat yang relevan serta amalan kreatif dan inovatif di dalam bilik darjah.

Antara aktiviti yang disediakan dalam program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu adalah pameran inovasi pendidikan, laman web pembelajaran, pertandingan reka cipta, klinik terapi seni dan main, pengucapan awam, bercerita, bengkel pendidikan dalam akhbar (NIE) dan forum.

Yang turut hadir, Pengarah IPGKBA, Dr. K. Nagalingam; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Shariffulizan Malek; Ketua Satu Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Dr. Mohd. Ghazali Taib dan Timbalan Pengarah IPGKBA, Dr. Chong Poh Wan. - UTUSAN ONLINE