Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Cynthia Gabriel yang membuat gesaan berkenaan menyatakan, keputusan kes berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran tersebut menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kebebasan dan ketelusan institusi kerajaan.

Selain itu, Cynthia dalam kenyataannya hari ini menyatakan, keputusan tersebut turut menidakkan keperluan untuk menjelaskan kewajaran pendakwaan yang dikenakan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

“Pendakwaan dimulakan dan diketuai dengan penuh keyakinan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, jadi bagaimana kes ini boleh digugurkan dengan mudah oleh Mahkamah Tinggi?

“Keputusan ini menunjukkan seolah-olah sistem (perundangan) sentiasa memihak kepada kerajaan memerintah atau Peguam Negara sebelum ini dipaksa untuk melakukan pendakwaan tersebut,” kata Cynthia.

Tambah Cynthia, lebih menimbulkan tanda tanya ialah apabila keputusan tersebut tetap dibuat walaupun pihak pendakwaan memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh.

Beliau menegaskan, dalam masa sama, SPRM tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab untuk menjelaskan perkara ini kepada pihak Peguam Negara dengan menyatakan bahawa mereka terkejut dengan perkembangan kes tersebut.

Tegas beliau, kedua-dua SPRM dan Peguam Negara perlu berani menghadapi sebarang tindak balas politik dan tampil dengan penjelasan yang telus mengenai keputusan mahkamah itu.

“Jika SPRM pada mulanya merasakan ada asas untuk mendakwa Guan Eng mereka perlu jelaskannya kepada rakyat.

“C4 berpendapat, mungkin juga perlu dipertimbangkan untuk melaksanakan satu sekatan disiplin bagi mengatasi kekeliruan yang berlaku (dalam kes ini,” katanya.

Hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan melepas dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

Terdahulu pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima dan meneliti representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dalam kes itu.

Sehubungan itu pihaknya memutuskan pada peringkat ini untuk menarik balik pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dan memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan mereka.

Namun begitu permohonan melepas tanpa membebaskan kedua-dua tertuduh oleh pihak pendakwaan itu dibantah peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng, sebaliknya beliau memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah.

Ketika membacakan keputusan itu Hakim Hadhariah berkata, sejak perbicaraan dijalankan seramai 25 saksi telah dipanggil dan masih terdapat 20 lagi saksi yang mungkin dipanggil memberi keterangan selepas ini.

“Di mahkamah ini sepatutnya tak ada ‘case installment’, kena ada full stop tak boleh koma selepas kes sudah berjalan dengan 25 saksi dipanggil tiba-tiba nak tangguhkan kes seketika.

“Jadi selepas mengkaji keseluruhan kes saya memutuskan untuk melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh atas kedua-dua pertuduhan yang dihadapi,” katanya.- UTUSAN ONLINE