Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Pelabuhan Pulau Pinang misalnya pernah terkenal dengan pendaratan ikan tuna tetapi aktiviti itu semakin berkurangan selepas ramai pengusaha beralih ke negara lain.

Sehubungan itu, ujarnya, kerajaan telah merintis usaha ke arah hasrat tersebut dengan mendaftar dua pelabuhan iaitu Dermaga Air Dalam di sini dan Pelabuhan Tanjung Lembung di Langkawi, Kedah sebagai designated tuna port.

“Kita mahu memberi perhatian serius terhadap industri ini kerana mampu menjana pendapatan sehingga RM1 bilion kepada negara menjelang 2020.

“Sebab itu kita amat menggalakkan pendaratan ikan tuna di pelabuhan negara kita khususnya dalam kalangan 135 pengusaha yang memperoleh lesen atau kuota bagi menangkap ikan di Lautan Hindi,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pendaratan ikan tuna oleh kapal Vesel Kha Yang 333 di Dermaga Air Dalam di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Chang.

Dalam majlis itu, Ahmad Shabery turut melawat ruang penyimpanan kapal tersebut yang mengandungi ikan tuna sebanyak 520 tan yang ditangkap di Lautan Hindi.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan menyasarkan sebanyak 3,000 tan metrik ikan tuna bernilai RM60 juta mampu didaratkan di Pelabuhan Pulau Pinang sehingga akhir tahun ini.

Ujar beliau, sasaran itu tidak mustahil dicapai memandangkan Pelabuhan Pulau Pinang lebih besar serta dilengkapi pelbagai kemudahan lebih baik berbanding di Langkawi.

“Kita juga mempunyai kemudahan kilang memproses ikan tuna di Bukit Minyak, Bukit Mertajam selain bercadang mewujudkan peluang latihan menangkap ikan tuna bersama nelayan tempatan.

‘‘Untuk tujuan eksport pula, kita ada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sangat dekat sekali gus dapat memastikan kesegaran ikan,” ujarnya.