Seharusnya kanak-kanak dan remaja antara usia lima hingga 18 tahun wajar mendapatkan pendidikan secara formal mahupun tidak formal sebaliknya tenaga mereka digunakan untuk pelbagai tujuan dan sektor.
Ikuti Bahagian Pertama laporan khas wartawan Utusan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR  dan jurugambar, IRWAN MAJID yang mengupas situasi berkenaan selain masalah kenegaraan yang menjadikan mereka mangsa keadaan.

 

KUALA LUMPUR 19 Jun -  Jumlah buruh dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan apa­bila dianggarkan lebih 200,000 kanak-kanak berusia lima hingga 18 tahun dikesan bekerja termasuk membantu ibu bapa mereka dalam pelbagai sektor di Sabah.

Jumlah tinggi itu merupakan hasil laporan dikeluarkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sedang berusaha membantu dan memastikan hak kanak-kanak terbela.

Negeri Sabah yang unik dari segi geografi, demografi penduduk dan sosioekonomi menjadi pemangkin kepada perkara tersebut hinggakan sukar untuk pihak berkuasa mengesan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Apatah lagi isu mendaftarkan penduduk negeri ini yang tidak pernah selesai terutamanya dalam ka­la­ngan Bajau Laut, orang asal di pedalaman serta penduduk yang tidak mempunyai pengenalan diri.

Menurut sumber, kebanyakan mereka bekerja dalam sektor pelancongan, pertanian, perlada­ngan, perikanan dan pelbagai sektor ekonomi tidak formal di kawasan bandar yang menjadi nadi kepada sumber ekonomi penduduk di negeri ini.

Jelas sumber, berpandukan Laporan Kanak-Kanak di Sektor Perladangan Kepala Sawit di Sabah yang dilaporkan oleh The Forest Trust, lebih 60,000 kanak-kanak berada di kawasan perladangan dan ada yang sedang bekerja dan membantu ibu bapa mereka terutamanya membabitkan warganegara Indonesia.

“Mereka melakukan pelbagai kerja termasuklah mengutip buah lerai, bekerja di tapak semaian sawit, penuaian, pembersihan dan pelbagai lagi kerja-kerja berkaitan dalam kawasan ladang,” ujarnya.

Tambahnya, buruh kanak-ka­nak di Sabah boleh dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen dan kanak-kanak yang tiada kewarganegaraan (statesless) seperti Bajau Laut.

“Kumpulan yang tidak memiliki dokumen terbahagi kepada dua kumpulan iaitu orang tempatan dan orang asal iaitu mereka yang tinggal jauh di pedalaman di kawasan bukit, sungai dan gunung

“Satu lagi kumpulan pula terdiri daripada kanak-kanak dalam kala­ngan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang merupakan warganegara Indonesia dan Filipina kerana mengikuti ibu bapa bekerja di negara ini,” katanya.

Pada 2017, Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan pekerja buruh kanak-kanak berjumlah 152 juta orang dari umur lima tahun hingga 18 tahun di mana 70.9 peratus daripada mereka bekerja dalam sektor pertanian.

Di Sabah, ia tertakluk kepada Ordinan Buruh Sabah, Kanak-kanak dan Orang Muda yang mempunyai peruntukan khusus mengenai penglibatan kanak-kanak dan orang muda dalam sektor pekerjaan.

Dalam ordinan tersebut menyatakan remaja berumur di bawah 15 tahun dan sehingga 18 tahun dika­tegorikan sebagai golongan orang muda.

Sumber turut memaklumkan, setiap kumpulan tersebut mempunyai bilangan buruh kanak-kanak yang ramai sehingga lebih 50,000 dan tiada cara khusus untuk me­ngukur bilangan tersebut.

“Masalah di Sabah mengenai kerakyatan dan pendatang asing atau tanpa negara ini bukan satu benda baharu, jika perkara itu gagal diselesaikan maka masalah buruh dalam kalangan kanak-kanak akan berterusan dan meningkat,” jelasnya.