Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn. Bhd. Kenny Yee berkata, bursa tempatan berada dalam aliran meningkat sejak pertengahan minggu lepas, meningkat 10.4 mata untuk ditutup di paras tertinggi hariannya pada Isnin.

“Kenaikan itu menyebabkan beberapa peserta pasaran mengambil keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Pada 5 petang, Indeks petunjuk pasaran susut 3.26 mata untuk ditutup di paras terendah hariannya pada 1,687.68 daripada paras penutup 1,690.94 pada Isnin.

Petunjuk pasaran itu dibuka 1.54 mata lebih kukuh kepada 1,692.48 dan bergerak antara paras 1,687.68 dan 1,694.89 sepanjang hari dagangan.

Di papan skor, suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 622 berbanding 241 manakala 373 kaunter kekal tidak berubah, 652 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.89 bilion unit bernilai RM1.75 bilion daripada 3.26 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Isnin.

Ditanya sama ada persidangan Invest Malaysia 2019 selama dua hari itu yang dianggap sebagai acara pasaran modal terbesar di negara ini memberi sebarang implikasi kepada pasaran hari ini, Yee berkata masih terlalu awal untuk menyatakannya kerana forum itu masih belum menyediakan sebarang pemangkin baharu untuk menggerakkan pasaran.

“Barangkali, pengumuman pengurangan cukai satu peratus dalam kadar cukai korporat mungkin akan membawa sedikit kesan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tetapi keseluruhannya tidak banyak lagi pemangkin yang disediakan daripada acara itu,” katanya. - BERNAMA