Pendapatan hasil getah atau sawit kurang RM400 sebu­lan de­ngan se­nario cu­­aca tidak menentu menambah lagi ke­peritan mereka mencari rezeki un­tuk belanja harian dan per­sekolahan anak-anak.

MOHD. SUHAIMI
MOHD. SUHAIMI 

Seorang pekebun kecil di Jengka 1 dekat sini, Mohd. Suhaimi Salleh, 40, berkata, pendapatan bulanannya memang tidak mencukupi untuk digunakan bagi membuat persiapan persekolahan anak-anaknya pada tahun depan.

“Ramai pekebun mengeluh apabila berdepan kemelut kewangan ketika senario kejatuhan harga komoditi yang masih tiada penghujung dan sukar untuk membuat agihan perbelanjaan keluarga.

“Tahun sebelum ini, beban kami ringan sedikit apabila menerima pakaian seragam dan beg sekolah percuma daripada pihak tertentu tetapi tahun ini tidak ada langsung,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, seorang pekebun kecil kelapa sawit di Kota Gelanggi, Mohd. Azli Sulaima, 55, berkata, sejak tiga bulan lepas, dia sudah merasai kesusahan hidup apabila terjerat de­ngan kejatuhan harga komoditi berkenaan.

“Hasil sawit merosot sejak beberapa bulan lepas dan tidak mencukupi untuk berbelanja dapur serta melangsaikan bayaran sewa beli kereta yang sudah pun diberikan peringatan pihak bank.

“Saya berharap ada jalan ke­luar daripada kemelut ini supaya pekebun termasuk peniaga kecil bebas daripada kesusahan khususnya memberi keutamaan untuk persiapan persekolahan anak-anak kami tahun depan,” katanya.

Sementara itu, seorang pe­niaga di Simpang Ibul Tunggal, Habesah Salim, 59, berkata, perniagaan kedai makannya juga merosot sejak dua bulan ini ke­rana jarang disinggahi pe­langgan berikutan harga sawit dan getah jatuh.

“Sebelum ini, kedai makan saya ramai dikunjungi pelanggan dalam kalangan pekebun berdekatan. Namun sejak akhir-akhir ini, perniagaan merosot dan banyak makanan tidak habis dijual kerana kuasa beli peneroka semakin rendah,” katanya.