Perkhidmatan tesebut diiktiraf oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai salah satu peneraju halal di Malaysia bagi rakan kongsi penghantaran makanan kerana menjadi yang pertama mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Pengurus Besar Negara honestbee Sdn. Bhd, Afzan Lutfi, selari dengan perkembangan industri halal yang bergerak ke arah perdagangan digital, platform seperti e-dagang dan aplikasi mudah alih digunakan secara meluas.

“Kerjasama ini menggalakkan pertumbuhan dan permintaan makanan halal di Malaysia membuka peluang kepada semua restoran bertaraf halal untuk menyertai platform honestbee bagi perkhidmatan makanan.

“Malah pelanggan kami yang bergama Islam boleh membuat pesanan tanpa was-was kerana penghantaran yang disediakan mengikuti garis panduan yang ketat dan keperluan telah ditetapkan oleh Jakim,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif HDC,Datuk Seri Jamil Bidin berkata, orang ramai tidak lagi melihat halal kerana hanya tertumpu kepada masyarakat Islam.

“Makanan halal ini turut diterima dengan baik di beberapa buah negara seperti Jepun, Taiwan, Korea, Hong Kong, Filipina, Brazil dan seluruh dunia.

“Malah, pada masa ini 23 peratus daripada jumlah penduduk dunia adalah orang Islam, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 27 peratus menjelang tahun 2030,” katanya.

Bungkus by honestbee kini mempunyai afliasi dengan lebih daripada 1700 restoran. honestbee bermula sebagai penyedia penghantar barangan runcit dengan afliasi lebih daripada 300 pasaraya dan kedai runcit di Malaysia.-UTUSAN ONLINE