Menurut kenyataan agensi tersebut, khabar angin yang mengatakan bumi akan bergelap selama tiga hari berikutan kedudukan bumi, matahari dan pusat galaksi (Bima Sakti) akan berada pada kedudukan selari itu disahkan palsu.

Malah Angkasa memberitahu, siasatan terhadap laman web rasmi Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) juga mendapati tiada sebarang kenyataan berhubung kejadian berkenaan dikeluarkan.

“Kenyataan tersebut didakwa dikeluarkan secara rasmi oleh NASA, namun selepas pihak kami meneliti laman rasmi NASA, perkara itu didapati palsu. Malah, untuk pengetahuan umum, ribut suria dari matahari tidak menyebabkan kejadian siang atau malam, jauh sekali menyebabkan bumi bergelap.

“Bumi juga dilindungi oleh medan magnet (magnetosphere) yang menyebabkan kesan sebarang ribut suria dibelokkan (deflected) dan menjadi lemah sebelum sampai ke bumi,” kata kenyataan tersebut.

Menurut Angkasa, penyebaran berita mengenai fenomena kononnya bumi akan bergelap itu juga bukan satu perkara baharu kerana ia didapati telah menular sejak 2012 di mana kenyataan yang hampir sama dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya setiap penyebaran maklumat khususnya daripada aplikasi WhatsApp serta laman sosial yang diragui kesahihannya.