Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan dan cadangan daripada UPNM terlebih dahulu sebelum menilai keperluan untuk me­lakukan sebarang rombakan sistem demi mengelakkan kejadian kes buli yang berlaku di universiti itu baru-baru ini sehingga menyebabkan kematian berulang.

Namun katanya, UPNM perlu bertanggungjawab terhadap kejadian kes buli itu agar kematian seorang mahasiswanya, Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, tidak sia-sia.

“Saya serius dalam hal ini. UPNM perlu bertanggungjawab dalam kes ini dan pada masa sama menilai sama ada perlu rombak atau tidak sistem yang ada. UPNM akan mencadangkan kepada saya apakah rombakan yang dilihat sesuai untuk dilakukan dan saya akan memaklumkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir ke perjumpaan bersama setiausaha-setiausaha UMNO bahagian dan sayap UMNO di sini hari ini.

Dalam kejadian awal bulan ini, Zulfarhan Osman maut dipercayai didera oleh rakan-rakan sepengajiannya dengan seterika wap.

Seramai lima penuntut UPNM dihadapkan ke Mahkamah Majistret Rabu lalu atas pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman dengan pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berhubung pesawat tempur Hawk 108 yang terhempas Khamis lalu, Hishammuddin berkata, apa yang penting ketika ini adalah siasatan yang telus dan terperinci dilakukan.

“Setakat hari ini pesawat ini mampu menjalankan tugas untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiada permintaan supaya pesawat-pesawat lain dipertimbangkan,” jelasnya.

Khamis lalu, pesawat tempur Hawk 108 milik TUDM itu terhempas di kawasan paya berdekatan Kampung Yak Yah, Chukai, Terengganu mengorbankan dua juruterbangnya, Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd. Hasri Zahari, 31.