Menteri Pendidikan , Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara tersebut yang diputuskan melalui satu mesyuarat semalam yang turut menetapkan hukuman gantung sekolah sehingga enam bulan terhadap pelajar terlibat.

Katanya, kebenaran tersebut berkuatkuasa serta merta yang diharapkan dapat mengekang kes buli di sekolah.

“Walaupun ada yang cakap apa mereka (pembuli) akan buat ketika digantung sekolah itu? Mereka juga akan diberi pemulihan antaranya menempatkan mereka sementara di sekolah-sekolah pemulihan akhlak.

“Tempoh gantung sekolah adalah sehingga enam bulan bergantung kepada siasatan dibuat jawatankuasa disiplin dengan meneliti kesalahan pembuli itu, “ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) sempena Karnival Pendidikan di Universiti AIMST Bedong di sini hari ini.

Mahdzir mengulas tentang kejadian seorang pelajar tingkatan satu sekolah di Bandar Sri Damansara dekat Petaling Jaya semalam yang cedera di kepala dipercayai akibat dipukul oleh dua pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan.

Kata Mahdzir, kementerian memandang serius kes buli di sekolah terutama yang melibatkan kes jenayah. - UTUSAN ONLINE