Pegawai Daerah Segamat, Abdul Rahman Salleh berkata, menerusi program itu, rakyat berbilang kaum dan agama juga berpeluang melahirkan kesyukuran, kegembiraan dan rasa cintakan negara dalam pelbagai cara.

“Bersyukurlah kerana kita dapat diketemukan sekali lagi dengan sambutan Bulan Kemerdekaan. Sejak kita kecapi kemerdekaan pada 1957, kita berada dalam keadaan aman, makmur, selamat dan sejahtera.

“Tarikh keramat 31 Ogos yang disambut seluruh rakyat setiap tahun adalah sebagai simbolik bahawa negara bebas daripada penjajah yang membolehkan kita mengecapi nikmat kemerdekaan,” katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Daerah Segamat di Segamat Sentral, di sini baru-baru ini.

Selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku, beliau turut mengajak rakyat pelbagai kaum di daerah ini supaya terus hidup bersatu hati dan mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama 61 tahun ini.

Katanya, semangat patriotisme dalam kalangan rakyat harus me­langkaui sebarang perbezaan warna kulit, agama mahupun politik kerana kecintaan terhadap negara perlu diletakkan sebagai keutamaan oleh setiap individu yang bergelar warganegara Malaysia.

“Saya percaya, tidak kira apa warna kulit atau bahasa pertuturan, terdapat nilai-nilai sejagat yang kita berkongsi bersama dan menyatukan kita semua dan inilah yang menjadi tunjang perpaduan di Malaysia selama ini,” katanya

“Saya juga ingin menyeru seluruh rakyat di daerah ini mengibarkan Jalur Gemilang di semua tempat termasuk kediaman, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sebagai tanda kecintaan terhadap negara,” katanya.