Pengerusi Institut Terjemahan Buku dan Malaysia (ITBM), Budiman Mohd. Zohdi berkata, buku itu diperkenalkan seiring dengan pelancaran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) antara Malaysia dan Indonesia, iaitu Nusasentris bagi memastikan hubungan antara dua negara itu sentiasa dipelihara.

“Buku ini mempunyai elemen yang mampu mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia oleh sebab itu ia dijadikan sebagai permulaan kepada usaha Nusasentris untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada.

“Pada masa yang sama, Nusasentris juga akan mempergiatkan aktiviti sosial dalam kalangan anak-anak muda dari kedua-dua buah negara supaya hubungan baik ini dapat diteruskan dalam masa akan datang,” katanya di sini hari ini.

Buku itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang berlangsung pada Jumaat yang lalu.

Buku yang terbahagi kepada enam bahagian itu diterbitkan dalam bahasa Indonesia hasil kerjasama ITBM dan syarikat penerbitan Indonesia, Penerbit Penjuru Ilmu.

Turut diadakan sesi membedah buku Wastiyyah: Idea dan Realiti antara Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM), Datuk Mohd. Yusof Din, dan Pengarah Sekolah Ilmu Politik, Universiti Nasional Indonesia, M. Alfan Alfian.

Buku setebal 89 halaman itu dijual dengan harga RM40.00 dan boleh didapati melalui pembelian secara dalam talian di www.itbm.com.my atau Whatsapp: 019-2219015. - UTUSAN ONLINE