Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara kepada Mohamad Fuzi Harun dalam Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017 bersempena Hari Keputeraan Seri Paduka di Istana Negara, kelmarin. bernama

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penganugerahan itu sesuai kerana jawatan Ketua Polis Negara merupakan kedudukan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku agensi yang sangat penting di Malaysia.

Pada masa sama kata­nya, penerimaan gelaran itu juga adalah satu pengiktirafan kepada Mohamad Fuzi yang telah berkhidmat lebih 30 tahun bersama PDRM sebelum dilantik ke jawatan Ketua Polis Negara bermula awal bu­lan ini.

“Saya me­ngucapkan tahniah ke­pada beliau, semoga penganugerahan ini menjadi pendorong semangat kepada dirinya serta keseluruhan pasukan PDRM. Penerima gelaran Tan Sri sesuai dengan jawatan Ketua Polis Negara serta sumbangan Mohamad Fuzi kepada PDRM selama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Mohamad Fuzi merupakan antara 103 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2017 bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara di sini, semalam.

Pada masa sama, Lam Thye juga mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM), yang turut membawa gelaran Tan Sri.

Baginya pengiktirafan itu akan menyemarakkan lagi semangat keseluruhan kakitangan SPRM untuk melaksanakan tugas membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berkata, penerimaan darjah kebesaran PMN kepada Ketua Polis Negara menggambarkan betapa pentingnya peranan PDRM sebagai badan penguatkuasa yang konsisten dalam mengekalkan keamanan negara.

“Kalau kita imbas kembali pada zaman darurat antara tahun 1948 hingga 1960, PDRM memainkan peranan penting menghapuskan tindakan ganas komunis. Sehingga ke hari ini, PDRM tetap relevan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan dalam negeri.

“Oleh itu tidak hairan kalau pucuk pimpinan PDRM yang diketuai oleh Ketua Polis Negara dianugerahkan pingat tersebut,” katanya.