ABU SOFIAN YAACOB
ABU SOFIAN YAACOB

Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kenaikan antara 1.2 pera­tus hingga 10.4 peratus bagi penerima faedah skim bencana pekerjaan dan skim keilatan itu adalah bertepatan de­ngan kekangan kos sara hidup kini.

“Umum mengeta­hui bahawa mereka yang menerima pencen daripada kedua-dua skim ini terdiri daripada para pekerja yang hilang keupayaan untuk mencari sumber pendapatan. Golongan ini menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi berbanding orang biasa seperti kos perubatan dan sebagainya.

“Kenaikan pencen pencarum yang berkuatkuasa bermula 1 September lalu sedikit sebanyak dapat membela mereka dan ia secara tidak langsung menggambarkan kemampuan Perkeso dalam menguruskan wang caruman walaupun kadar caruman tidak dinaik­kan sejak sekian lama,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

ZULKORNAIN YUSOP
ZULKORNAIN YUSOP

Sementara itu, Pre­siden Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Zulkornain Yusop berharap, pencarum memanfaatkan kenaikan kadar pencen antara 1.2 peratus sehingga 10.4 peratus dengan sebaik mungkin supaya mereka tidak dibebani masalah kewangan pada masa hadapan.

Ujar beliau, keba­nyakan pencarum yang terlibat dalam kemalangan menyalahgunakan wang yang diperuntukkan dan menghabiskannya untuk keperluan lain.

“Ramai yang terbeban apabila tidak dapat bekerja, oleh itu penerima perlu memanfaatkan perkara ini dengan sebaiknya kera­na kenaikan kadar diberi mengikut jenis kecacatan dan kemalangan yang dialami,” jelasnya.

Melalui pelarasan itu, Per­keso memperuntukkan sebanyak RM72.62 juta untuk tahun ini manakala RM238 juta bagi tahun 2018.

Perkara berkenaan bakal memberikan maanfaat kepada 328,056 penerima yang akan menerima tunggakan pelarasan bermula 26 Disember depan.