Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, hukuman sebatan syariah terhadap dua pelaku musahaqah (lesbian) itu telah dijalankan dalam keadaan berpakaian menutup aurat, ringan dan tidak melukakan selain melibatkan pemeriksaan pasukan perubatan terlebih dahulu. 

MUSA AWANG
MUSA AWANG

“Hukuman sebat syariah masih melindungi maruah pesalah oleh sebab itu mereka dibenarkan memakai pakaian dan menutup keseluruhan aurat, baik lelaki ataupun wanita. Berbeza dengan sebatan sivil dan barat di mana pesalah akan ditelanjangkan dan hanya bahagian kemaluan sahaja ditutup dengan kain atau cawat sementara bahagian punggung pula akan diikat pada abah-abah dengan tali pinggang.

“Ini membuktikan bahawa sebatan syariah tidak kejam dan zalim sebagaimana didakwa sesetengah pihak. Ia juga membuktikan bahawa sebatan syariah ternyata sama sekali berbeza dengan hukuman sebat di mahkamah sivil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dua wanita masing-masing berusia 32 dan 22 tahun dihukum sebat enam kali hari ini di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, Terengganu pada 8 April lalu.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda. Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat. - UTUSAN ONLINE