Azwanddin Hamzah

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, perpaduan ummah itu jelas menunjukkan kematangan umat Islam di negara ini ketika berdepan cabaran semasa yang boleh mengganggu gugat maruah serta agama.

“Umat Islam di negara ini pasti gembira apabila melihat dua parti besar Melayu bersatu demi membawa agenda Islam dan kerjasama sebegini jelas menunjukkan mereka adalah sebuah parti yang sangat matang.

“Pemimpin parti mengambil langkah bijak apabila menjadikan agenda Melayu sebagai perkara utama malah sudah sampai masanya untuk umat Islam mengambil iktibar daripada himpunan tersebut, antaranya bersatu dalam mengukuhkan agenda yang melibatkan agama dan bangsa,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejayaan penganju­ran Himpunan RUU 355 yang melambangkan solidariti umat Islam tanpa mengira fahaman politik dalam mempertahankan kepentingan agama.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad memberitahu, sokongan yang diterima menerusi himpunan tersebut jelas menunjukkan sebahagian besar umat Islam menyokong pindaan tersebut kerana diyakini mampu memberi nafas baharu sesuai dengan keadaan pada masa kini.

“Kita tidak mempertikaikan undang-undang lama, cuma ia sudah terlalu lama dan perlu dipinda agar sesuai digunakan pada masa kini. Sebagai contoh bangunan mahkamah sering dibaik pulih agar sesuai dengan keadaan semasa, tetapi kenapa rang undang-undang lama perlu dikekalkan?

“Semua pihak perlu menghormati panda­ngan majoriti rakyat di negara ini dan ja­ngan cuba merumitkan keadaan dengan membuat andaian sendiri bahawa sekiranya RUU 355 dilaksanakan, ia bakal menyebabkan semua undang-undang negara dirombak secara besar-besaran.

“Jadilah masyarakat yang terpelajar, amalkan pemikiran yang matang sekiranya RUU 355 dilaksanakan. Ia hanya bertujuan mendidik seseorang supaya tidak melakukan kesalahan sekiranya tidak mahu dijatuhkan hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perhimpunan Belia Islam Dunia, Shahrin Awaludin berpendapat, himpunan tersebut merupakan salah satu cara berkesan untuk membuktikan sokongan rakyat terhadap pindaan RUU 355.

“Himpunan itu memberi peluang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan terhadap sesuatu perkara malah ia membuktikan mereka boleh bersatu dalam mencapai sesebuah misi,” ujarnya.