Bukit yang dahulunya diliputi dengan hutan hijau kini sebahagiannya menjadi gondol berikutan aktiviti pertanian dan pembangunan semakin berleluasa.

Mingguan Malaysia difahamkan, selain pencerobohan tanah, beberapa isu lain melibatkan para pendaki turut berlaku di kawasan tanah milik Kerajaan Selangor itu.

Isu terbabit melibatkan laluan asal pendaki dihalang dan dikenakan caj RM1 setiap seorang oleh individu tertentu jika ingin sampai ke puncak Broga.

Lebih mengecewakan, laluan ke puncak yang sebelum ini tidak dikenakan sebarang bayaran ditutup menggunakan kayu berdawai bagi menghalang laluan pendaki supaya menggunakan laluan berbayar tersebut.

Rata-rata penduduk sekitar mendakwa, caj yang dikenakan berikutan laluan yang dilalui pendaki merupakan tanah persendirian individu terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Prihatin Semenyih (GPS), Azman Ahmad berkata, sehingga kini tiada pemantauan dan tindakan khusus daripada pihak berkuasa negeri.

“Aktiviti tarah bukit sudah semestinya memberi kesan kepada keindahan alam sekitar di sini. Kami bimbang jika tiada sebarang tindakan dibuat pihak berkuasa, lama-kelamaan kawasan tum­puan pelancong ini akan ‘lenyap’,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sehubungan itu, Azman berkata, GPS menggesa pihak berwajib khususnya Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang (Mpkj) mengambil tindakan drastik.

“Pejabat Daerah dan Tanah perlu memastikan garis sempadan supaya kawasan hutan simpan ini tidak diteroka dengan sewenang-wenangnya. Mpkj juga perlu memantau sebarang aktiviti yang melanggar peraturan di kawasan itu,” katanya.

Seorang pendaki, Ramli Mat Noor, 63, berkata, dia mendaki bukit berkenaan hampir setiap minggu dan sedih tanah di kawasan itu menjadi gondol.

“Dahulu memang seronok kerana dapat melihat suasana kehijauan di sini, tetapi sekarang sudah gondol. Pencemaran udara se­perti masalah habuk me­ngganggu para pendaki,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pegawai Daerah Hulu Langat, Datuk Zul-Kefli Khalid pula berkata, penerokaan Bukit Broga yang dilakukan pengusaha adalah di atas tanah kerajaan negeri bagi tujuan aktiviti pertanian.

“Pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan Mpkj mengarahkan pengusaha terbabit dan kerja-kerja tanah di Bukit Broga dihentikan serta-merta untuk tindakan siasatan. Jika pengusaha berdegil meneruskan penerokaan, jentera mereka boleh disita.

“Mereka boleh didakwa atas kesalahan pencerobohan tanah kerajaan seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 yang boleh mengenakan denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya ketika dihubungi.