ABDUL HAMID MOHAMAD

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, sesetengah pihak se­per­ti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) cenderung mengambil keputusan untuk mengadu kepada Majlis Raja-Raja apabila mereka berhadapan dengan sesuatu isu termasuk politik kerana khuatir kerajaan tidak akan mengambil tindakan se­perti yang mereka kehendaki.

“Dalam hal tertentu melibatkan dasar negara, orang ramai juga mahu panda­ngan mereka dide­ngar melalui NGO. Saya fikir adalah munasabah sekira­nya pandangan me­-
reka juga dide­ngar bersama-sama pandangan keraja­an sebelum Majlis Raja-Raja memberi pandangannya, walaupun keputusan muktamad akan dibuat oleh jemaah menteri.

“Perkara-perkara yang perlu rundingan dengan Majlis Raja-Raja semestinya datang daripada kerajaan, demikian juga dengan perkara-perkara yang perlu dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk ditimbang teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam ucaptama sempena Seminar 120 Tahun Majlis Raja-Raja Melayu yang berlangsung di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Profesor Datuk Dr. Rizal Atiq Abdullah O.K. Rahmat; Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd. Hashim dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, NGO juga disaran mengikut tatacara yang beradab dan terhormat jika menyampaikan laporan atau memorandum kepada Majlis Raja-Raja.

Tegasnya, memorandum tersebut tidak seharusnya disampaikan dengan mengadakan tunjuk perasaan, membuat bising dan berkelakuan kurang sopan di hadapan pintu masuk Istana Negara.

“Individu yang tidak tahu atau tidak menghormati adat dan adab kesultanan Melayu tidak patut dilayan oleh Majlis Raja-Raja,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada pihak sebelum ini menyarankan penubuhan Mahkamah Khas Majlis Raja-Raja seperti Privy Council di England untuk membicarakan kes-kes murtad dan kanak-kanak bukan Islam yang bapa atau ibunya memeluk Islam.

“Saya bukan tidak membantu mereka malah menentang sekeras-keras kerana itu bererti kita meletak orang murtad dan kanak-kanak hasil perkahwinan sivil itu lebih tinggi daripada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.