Malah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu telah dimulakan sejak tahun 2015 melalui Mesyuarat Jawatankuasa Transformasi Perkhidmatan Awam (JKK-TPA) Bil.1 Tahun 2015.

"Ini merupakan kesinambungan daripada usaha merasionalisasikan saiz perkhidmatan awam yang mula diperkenalkan sejak 2008.

"Pelaksanaan rasionalisasi ini juga hanya melibatkan perjawatan yang tidak diisi dan tidak digunakan bagi tempoh melebihi dua tahun," kata kenyataan itu di sini hari ini.

JPA menambah, kaedah bagi pelaksanaan pengurangan perjawatan ini tidak melibatkan penjawat awam sedia ada tetapi melalui pelbagai kaedah lain.

Jelas jabatan itu, antaranya pengoptimuman sumber manusia, penyusunan semula perjawatan (redeployment) bagi mengelakkan pertindihan fungsi, serah urus fungsi (outsourcing) dan penyampaian perkhidmatan alternatif (Alternative Service Delivery).

"Selain itu, gabungan teknologi dan pengisian jawatan secara berhemah mengikut keperluan semasa.

"Justeru, usaha ini adalah berpaksikan kepada produktiviti dan penggunaan sumber manusia secara cekap dan optimum dalam Perkhidmatan Awam," jelas kenyataan itu.

JPA mengulas mengenai penularan satu surat edaran jabatan itu yang bertarikh 26 Disember 2018 berhubung keputusan kawalan saiz perkhidmatan awam bermula dengan pengurangan penjawatan di kementerian dan agensi kerajaan sebanyak satu peratus bermula tahun ini.

Surat itu turut menyatakan ia selaras dasar baharu kerajaan untuk mengecilkan perkhidmatan awam bagi mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan.

Penularan surat itu telah menerima maklum balas negatif orang ramai termasuk perkataan 'Sukacita' pada awal surat berkenaan. - UTUSAN ONLINE