Vui Keong menjelaskan, program tersebut merupakan anjuran Persatuan Undang-Undang Sabah yang turut dihadiri semua anggota badan kehakiman dan peguam seluruh negara sempena Majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019.

Jelas beliau, majlis yang kebetulan jatuh pada hari lahir beliau itu juga bukanlah diadakan khas untuk bersuka-ria seperti dakwaan pihak tertentu.

“Program itu dianjurkan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah dan saya ke sana demi memenuhi jemputan mereka. Penganjur juga menjemput Peguam Negara, Tommy Thomas, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dan semua (anggota) badan kehakiman serta perundangan.

“Pada majlis itu, wakil penganjur menyebut hari itu juga merupakan hari lahir saya dan ia berada di luar pengetahuan saya. Semua mengucapkan selamat hari lahir sekali gus meraikannya,” katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.

Sebuah klip video berdurasi seminit 37 saat memperlihatkan Malanjum dan Tommy menari twist mengikuti rentak irama sebuah lagu Inggeris, Let’s Twist Again.

Selain Malanjum dan Tommy, turut kelihatan menari-nari dalam majlis yang dipercayai dihadiri oleh para pengamal undang-undang itu ialah Vui Keong serta peguam-peguam kontroversi seperti Datuk S. Ambiga dan Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim.

Sambil mengakui beliau menari bersama beberapa individu penting badan perundangan negara, Vui Keong memberitahu beliau hanya menari untuk satu lagu sahaja selepas dijemput penganjur ke atas pentas.

“Selain itu, penganjur juga mengadakan persembahan lain daripada artis dalam kalangan peguam, hakim dan pegawai kehakiman di samping tarian tradisi. Ia bukan khas kepada sesiapa,” ujar beliau.

Ketika ditanya berhubung tindakannya yang telah dikritik pelbagai pihak termasuk kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE