Masalah itu tegasnya, tidak harus dilihat dari aspek kemanusiaan sahaja kerana ia berpotensi berkembang menjadi ancaman keselamatan yang serius terhadap rantau ini.

“Rakhine yang ribuan penduduknya berasa kecewa dan putus asa dan melihat tiada harapan masa depan, boleh menjadi ‘ta­nah subur’ bagi radikalisasi dan direkrut oleh kumpulan-kumpulan sekutu Daesh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama dalam majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di sini hari ini

Najib berkata, Malaysia bersedia untuk membantu dalam mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan, sebagaimana langkah diambil Malaysia dengan bekerjasama dengan jiran-jirannya dalam proses damai di selatan Filipina dan di selatan Thailand.

“Kita perlu berjaga-jaga dan meningkatkan kerjasama kerana kejatuhan kawasan yang menjadi kubu Daesh di Iraq dan Syria telah memaksa kumpulan itu ‘melakukan gerakan bawah ta­nah’ dan muncul di tempat lain, khususnya di zon-zon krisis yang akan membolehkan ia bertapak dan beroperasi.

“Kita perlu mengambil iktibar daripada rampasan di Marawi dan harus betul-betul bimbang akan hakikat bahawa sekurang-kurangnya 10 kumpulan militan di Mindanao telah mengikrarkan sokongan mereka kepada Daesh,” kata Najib.

Pada sidang kemuncak tersebut, Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi mengetuai de­legasi negara itu.

Media antarabangsa melapor­kan keganasan dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk Islam Rohingya di ne­geri Rakhine merupakan yang terburuk dalam sejarah republik itu, dengan banyak etnik Ro­hingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh dan sebahagiannya terperangkap di kawasan pergunu­ngan tanpa bekalan asas. – BERNAMA