Malah kawasan tersebut bakal menjadi ‘jerangkap samar’ yang berupaya menenggelamkan Naib Presiden PKR itu daripada kancah politik nasional sekiranya beliau tumbang.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, pada masa ini, PKR sendiri tempang di kawasan itu selepas Pas menarik diri daripada Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Biarpun sehingga hari ini Nurul Izzah belum mengumumkan secara terbuka untuk bertanding di Permatang Pauh dalam PRU-14 namun kelibatnya semakin kerap kelihatan di sini untuk mengikuti program-program anjuran PKR atau Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Itu mungkin isyarat yang Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut akan mengambil alih kerusi daripada ibunya, namun itu bukanlah satu ancaman besar untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumba­ngan alat tulis kepada murid tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Bahru di sini hari ini.

Sebanyak 2,520 murid tahun satu daripada 21 sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan (Cina) di kawasan Parlimen Permatang Pauh menerima sumbangan alat tulis itu hari ini dan esok.

Mohd. Zaidi menambah, UMNO dan BN di kawasan itu telah memulakan gerak kerja sejurus selesai pilihan raya umum lalu malah pelbagai program te­lah dilaksanakan untuk rakyat di kawasan tersebut.

Jelasnya, biarpun kawasan itu bukan diperintah oleh BN namun kerajaan tidak sama sekali meminggirkan Permatang Pauh dan membawa pelbagai projek pembangunan demi untuk membantu rakyat.

“Jadi nasihat saya kepada Nurul Izzah, kalau nak bertanding, pilihlah kawasan selamat agar namanya tidak dilupakan jika tewas di kawasan ini,” ujarnya.