Timbalan Pengerusi sayap bukan Islam parti itu, Lim Guan Seng berkata, arahan tersebut telah dikuatkuasakan sejak sekian lama dan bukan satu masalah besar kepada mana-mana peniaga atau masyarakat bukan Islam di negeri ini.

Tambah beliau, perniagaan dihentikan untuk memberi laluan kepada solat Maghrib tidak mengambil masa terlalu panjang dan sebagai orang Islam, Zahid tidak perlu berasa terbeban dengan peraturan seumpama itu.

"Kami masyarakat bukan Islam tidak rasa terbeban pun dengan peraturan ini. Malah perniagaan kami sedikit pun tidak terjejas. Saya hairan kenapa beliau memperbesar-besar isu ini sehingga mahu menyaman kerajaan negeri.

"Setahu saya, solat Maghrib tidaklah lama mana pun. Dalam 10 hingga 15 minit sahaja. Kenapa beliau sebagai orang Islam perlu rasa perkara ini mengganggu atau menjejaskan perniagaan?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebuah portal hari ini melaporkan kenyataan Zaid menerusi akaun Twitter yang mahu memfailkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Pas Kelantan berikutan arahan supaya peniaga pasar malam menghentikan perniagaan ketika azan Maghrib.

Zaid yang kini menyertai DAP dilaporkan berkata, beliau mahu menyaman kerajaan negeri kerana menganggap peraturan itu tidak sah, selain mempertikai peraturan melarang peniaga membuka kedai sebelum pukul 3 petang sepanjang bulan Ramadan.

Sebelum ini, Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa turut mempersoal arahan kerajaan negeri yang mengenakan peraturan tersebut kepada peniaga bukan Islam sedangkan mereka tidak terlibat dengan solat Maghrib.

Mengulas lanjut, Guan Seng berkata, individu seperti Zaid mungkin mempunyai agenda lain apabila membangkitkan isu tersebut memandangkan selama ini, rakyat tanpa mengira agama dan latar belakang menerima dengan baik peraturan terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood mencabar Zaid meneruskan hasrat beliau menyaman kerajaan negeri.

"Kita tunggu (tindakan Zaid). Komen sekarang pun tidak beri makna apa-apa sebab dia belum buat, baru niat," katanya yang enggan mengulas lanjut. - UTUSAN ONLINE