Bagaimanapun, hari ini bunyi siren itu cukup kuat dan membingitkan kerana datang daripada banyak kenderaan. Deruan puluhan kereta pacuan empat roda bercermin gelap yang bergerak pantas, mencemaskan lagi peniaga nasi ayam.

“Saya ingatkan ada kemalangan besar. lebih-lebih lagi apabila melihat ramai polis di depan kawasan mahkamah. Tak sangka pula ia ada kaitan kes pembunuhan rakyat Korea Utara tempoh hari,” ujarnya.

Rasa terkejut juga dikongsi isterinya, Sarimah Sulaiman, 47, yang mendakwa kehadiran begitu ramai polis dan kenderaan yang diletakkan sepanjang jalan menunjukkan hari ini bukan hari biasa.

Sememangnya hari ini bukan hari biasa bagi penduduk di Bandar Baru Salak Tinggi yang menempatkan Kompleks Mahkamah Sepang. Seawal pukul 5 pagi, kompleks mahkamah itu telah menjadi tumpuan lebih 300 media tempatan dan antarabangsa.

Semuanya hadir bagi mengikuti proses pendakwaan ke atas dua suspek, Doan Thi Huong, warga Vietnam dan Siti Aisyah, warga Indonesia atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga Korea Utara, Kim Chol.

Selain terpaksa meletakkan kenderaan sejauh hampir dua kilometer dan berjalan kaki ke mahkamah, petugas media juga terpaksa beratur panjang mendaftar diri dan mengambil pas sebelum dibenarkan masuk ke kawasan mahkamah.

Hanya 15 wakil media dibenarkan masuk ke kamar Mahkamah Majistret untuk mendengar pendakwaan, selebihnya terpaksa menunggu di ruang lobi atau di kawasan pekarangan mahkamah.

Anggota Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap dan bersenjata bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Anggota Stafoc dilihat berkawal di lokasi-lokasi strategik di sekitar mahkamah malahan laluan masuk kedua-dua suspek ke dalam kamar mahkamah turut dikawal ketat.

Keadaan menjadi kecoh apabila kenderaan membawa suspek tiba kira-kira pukul 9.30 pagi. Selang 10 minit kemudian, kenderaan membawa suspek kedua tiba. Setiap suspek dibawa dalam sebuah kenderaan yang turut diiringi lebih 11 kenderaan lain.

Lebih 20 kenderaan yang mengiringi kedua-dua suspek diletakkan betul-betul dihadapan pintu masuk Mahkamah Majistret.

Anggota Stafoc kelihatan seperti menjadi perisai melindungi kedua-dua suspek ketika dibawa masuk dan keluar mahkamah. Amat sukar untuk melihat atau menilai air muka suspek, sama ada gementar atau tenang dari jauh.

Beratus-ratus jurugambar dan jurukamera yang bertugas serta sedia menanti begitu lama terpaksa berpuas hati mengambil gambar dan visual kedua-dua suspek dari jauh.

Media tidak langsung berkesempatan menghampiri kedua-dua suspek yang didakwa telah membunuh lelaki Korea Utara bernama Kim Chol iaitu nama identiti kedua Kim Jong-nam.

Thi Huong dan Siti Aisyah didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori. Pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan dalam bahasa Vietnam dan Indonesia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua wanita terbabit. Turut hadir pada prosiding hari ini ialah wakil daripada kedutaan kedua-dua buah negara.

Hakim Mahkamah Sesyen Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret hari ini menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Sudah pasti Bandar Baru Salak Tinggi dan Kompleks Mahkamah Sepang akan sekali lagi menjadi tumpuan kurang dua bulan dari sekarang. - UTUSAN ONLINE