Ketua Program Sains Pemakanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Norimah A. Karim berkata, garam tersembunyi biasanya ada pada makanan yang diproses termasuklah makanan tradisi seperti budu, cencaluk dan belacan.

“Ada banyak makanan bergaram yang orang Malaysia makan, bukan hanya papadum. Kicap, sos tomato, sos cili, belacan, budu, cencaluk, telur masin, ikan masin, namakan saja. Jadi tidak adil untuk kata hanya papadum punca masalah kesihatan orang Malaysia.

“Selain makanan yang dipro­ses, makanan semula jadi se­perti daging juga mengandungi garam. Namun yang membuatkan ia bertambah masin apabila kita tambah garam dalam masakan. Secara mudahnya, apabila kita makan dan kita rasa masin, maknanya kandungan garamnya sudah berlebihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau me­nyarankan supaya orang ramai memasak sendiri di rumah supaya kandungan garam dalam masakan boleh dikawal, berbanding makan di restoran yang rata-rata menggunakan banyak garam dalam masakan untuk menarik pelanggan.