HELMI IBRAHIM
HELMI IBRAHIM

Pengarah Eksekutif ASEAN Rohingya Center (ARC), Dr. Helmi Ibrahim berkata, tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah individu terpaksa mengemis demi kelangsungan hidup tetapi lama kelamaan bertukar menjadi aktiviti ekonomi tidak formal.

“Saya tidak nafikan kemasukan pelarian etnik Rohingya yang mencecah 150,000 orang ke Malaysia menjadi punca lambakan pengemis di negara ini.

“Hanya kira-kira 62,000 orang yang diberikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan status sebagai pelarian menyebabkan mereka tidak boleh bekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan kegiatan pengemis yang membanjiri Kuala Lumpur dan ada dalam kalangan mereka yang menggunakan taktik dengan membawa anak kecil untuk menarik simpati orang awam.

Jelas Helmi, perkara tersebut akan memberi tanggapan buruk terhadap pelancong asing yang mungkin akan menganggap dan menggelarkan Kuala Lumpur sebagai bandar raya lambakan pengemis.

“ARC dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta universiti akan mengadakan Makmal Kemanusinan Rohingya dalam usa­ha membantu golongan tersebut dengan mengusulkan cada­ngan kepada kerajaan dalam menangani isu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, beliau sendiri pernah bertembung dengan pe­ngemis etnik Rohingya yang mempunyai kad UNHCR.

“Mereka memberitahu, walaupun mereka adalah pemegang kad tersebut tetapi nasib mereka sama sahaja dengan golongan yang tidak berdaftar di bawah UNHCR.

“Saya kesal dengan UNHCR yang mengabaikan golongan teraniaya ini. Mereka tidak diberikan pekerjaan dan terpaksa menanggung bebanan hidup tanpa pendapatan,” jelasnya.