Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, proses PdP di dalam kelas tetap berlangsung seperti biasa dan penggunaan peranti itu juga mungkin dibenarkan pada waktu tertentu.

"Bukan digunakan dari pukul 7.45 pagi hingga 2 petang. Mungkin dua jam tetapi kita tidak putuskan lagi (sama ada) dua jam atau tiga jam waktu yang dibolehkan menggunakan alat peranti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jambori Pengakap Negeri Kedah kali ke-5 dan Persaudaraan Antarabangsa 2017 yang dihadiri lebih 4,000 peserta termasuk dari Thailand dan Indonesia dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, pendekatan murid serta pelajar sekolah membawa alat peranti itu sudah lama dilaksanakan di sekolah berasrama penuh dan berprestasi tinggi serta di sekolah antarabangsa mahupun swasta.

Selasa lalu, ketika mengumumkan kebenaran itu sejajar dengan gelombang teknologi dunia, Mahdzir berkata, pihaknya sedang merangka peraturan serta pekeliling bagi menetapkan penggunaan serta alat peranti yang dibenarkan dibawa ke sekolah.

Katanya, pada masa ini hanya tablet dibenarkan dan pelajar dilarang membawa telefon bimbit kerana dilihat mampu mengganggu dan menjejaskan tumpuan pelajar di dalam kelas. - BERNAMA