Tiket tayangan eksklusif berharga 75 riyal (RM77.95) yang dijual secara dalam talian bermula tengah malam dilaporkan habis dalam tempoh hanya beberapa minit sahaja.

Kebanyakan mereka yang hadir kelihatan teruja dan sempat berswafoto di lobi pawagam itu selepas larangan operasi firma berbentuk hiburan tersebut ditarik balik akhir tahun lalu.

“Suasananya sangat menarik seperti ada peristiwa bersejarah yang berlaku di sini,” kata Mana, penyambut tetamu di pawagam yang terletak di Daerah Kewangan Raja Abdullah di utara Riyadh.

Sebelum tayangan perdana itu bermula, penonton dihidangkan dengan, klip sejarah filem, temu bual stesen televisyen Amerika Syarikat (AS) dengan Putera Mohammed Salman dan iklan Coca-Cola yang memaparkan wanita memandu.

Menurut Adam Aron, ketua eksekutif AMC Entertainment Holding, pengendali pawagam, pilihan tayangan filem tersebut tidak dilakukan secara rawak dan dua adegan ciuman dalam filem tersebut telah dipotong ketika tayangan dibuat.

“Filem berkenaan adalah tentang seorang putera muda yang mengubah negaranya menjadi hebat. Ini mungkin dirasakan bagaikan mempunyai persamaan de­ngan sebahagian daripada anda.”

Pihak berkuasa merancang membina sekitar 350 pawagam dengan lebih 2,500 skrin menjelang 2030, yang dijangka memberikan pulangan tahunan jualan tiket hampir AS$ 1 bilion (RM3.8 bilion).

Vox Cinemas, yang dimiliki oleh Majid Al Futtaim di Dubai, berkata, pihaknya sudah mene­rima lesen untuk mengendalikan pawagam dan akan membuka empat pawagam berbilang skrin di Riyadh dalam tempoh terdekat.

Walaupun terdapat pihak yang gembira tentang pembukaan semula pawagam terdapat juga mereka yang masih menolaknya dan berpendapat ia masih ‘ha­ram’ dari sisi agama Islam.

Semua pawagam ditutup di Arab Saudi pada awal tahun 1980-an kerana dianggap tidak konsisten dengan tafsiran agama Islam di negara itu.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada perubahan sosial yang dilaksanakan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman dan keputusan itu dijangka akan menggalakkan industri filem negara itu yang baru berkembang.

Beliau turut mengurangkan sekatan sosial lain melibatkan konsert awam selain membenarkan wanita memandu dan menonton bola sepak di stadium. – REUTERS