ABDUL HADI AWANG

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penyatuan umat Islam di negara ini demi membantu masyarakat minoriti Islam Rohingya di Myanmar itu sekali gus mampu membuka mata pelbagai pihak untuk memberi perhatian kepada mereka yang ditindas dan dizalimi.

“Saya iringi dengan doa, iringi dengan dukungan yang sepenuhnya, mudah-mudahan langkah yang diambil ini dapat menggerakkan hati-hati umat Islam khususnya dan pejuang perikemanusiaan di seluruh dunia, supaya memberi perhatian kepada mereka yang tertindas di Myanmar. Mudah-mudahan selamat semua,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi portal berita Pas, harakahdaily.net.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini bersama-sama menyempurnakan pelepasan kapal Nautical Aliya yang akan memulakan pelayaran ke Yangon, Myanmar dan Teknaf, Bangladesh.

Misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu turut disokong Pas demi membuktikan kebersamaan masyarakat antarabangsa dengan penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya di Arakan.