Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Mastura Mohd. Khalid berkata, insentif itu boleh diperolehi dengan membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i atau SSPN-i Plus) atau membuat penambahan deposit dengan simpanan minimum sebanyak RM50.

“Ini bermakna, apabila ibu bapa membuka akaun dengan simpanan sebanyak RM50, kerajaan melalui PTPTN akan menambah lagi RM50 secara percuma ke dalam akaun anak mereka.

“Ini merupakan insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2017 khusus untuk murid Tahun 1. Peruntukan seba­nyak RM25 juta telah disediakan bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Jom Simpan Bersama PTPTN yang disempurnakan Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Prof. Madya Datuk Dr. Toh Kian Kok di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, seramai 100 orang murid Tahun 1 dari tujuh buah sekolah bantuan penuh kerajaan dalam Parlimen Cheras menerima sumbangan deposit akaun SSPN-i berjumlah RM5,000 yang disumbangkan oleh Perfect Treats Sdn. Bhd. serta RM50 tambahan bagi setiap seorang yang diberikan oleh kerajaan melalui Insentif Khas Geran Sepadan.

Menurut Mastura, sehingga 30 September lalu, hanya 40,000 atau sembilan peratus daripada hampir 500,000 murid Tahun 1 di seluruh negara menerima Insentif Khas Geran Sepadan itu.

Ini bermakna, kata beliau, ha­nya RM2.02 juta daripada RM25 juta yang diperuntukkan untuk insentif tersebut telah dibelanjakan.

“Jadi kita berharap dalam tempoh masih berbaki dua bulan ini, ibu bapa murid Tahun 1 rebutlah peluang yang diberikan ini,” katanya.

Selain insentif sebanyak RM50, ujar Mastura, ibu bapa yang membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus sebelum hujung tahun ini juga berpeluang memenangi ha­diah utama untuk Cabutan Bulanan sebanyak RM10,000 dan saguhati RM100 untuk 10 pemenang.

Beliau berkata, Cabutan Bulanan itu yang juga akan tamat pada 31 Disember ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat di negara ini sempena sambutan ulang tahun PTPTN ke-20.

“Jangan tunggu lagi kerana Cabutan Bulanan ini hanya tinggal dua bulan sahaja lagi iaitu pada November dan Disember ini.

“Jadi kepada ibu bapa yang mempunyai anak Tahun 1, selain menerima tambahan simpanan secara percuma sebanyak RM50, mereka juga berpeluang memenangi Cabutan Bulanan sebanyak RM10,000 jika membuka akaun SSPN-i atau SSPN-i Plus sebelum akhir tahun ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Mastura berkata, Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2018 lalu telah mengumumkan akan meneruskan Insentif Khas Geran Sepadan dengan per­untukan berjumlah RM250 juta kepada kira-kira 500,000 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun yang menabung dalam SSPN-i­ ­atau SSPN-i Plus.

Apa yang menarik, insentif untuk ta­hun depan itu, jelas­nya, simpanan berjumlah RM500 akan dimasukkan secara percuma sekiranya jumlah simpanan yang dibuat pada 2018 mencapai sekurang-kurangnya RM500.

“Tetapi RM500 ini tidak boleh dikeluarkan sehingga anak ber­kenaan berumur 18 tahun dan menyimpan bertujuan untuk pen­didikan tinggi,” katanya.