Anugerah itu diberikan penduduk Kampung Pak Phou Steam, Daerah Kampung Cham sebagai tanda penghargaan kepada NGO Antarabangsa yang telah memberi sumbangan daripada segi kemudahan rumah ibadat dan pendidikan anak-anak Islam di sana.

Menurut Ketua Kampungnya, Yusof Saleh, NGO Antarabangsa telah menunjukkan contoh baik kepada orang ramai apabila berjaya membantu membina lima buah masjid, tiga buah sekolah tahfiz, berpuluh buah surau dan ribuan telaga buat 5,000 penduduk Islam di situ.

“Kemudahan dan sumbangan yang diberikan NGO Antarabangsa turut dinikmati lebih 1,000 penduduk kampung bukan Islam di sini. Mereka juga membantu anak-anak Islam Kemboja untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi termasuk menyambung pengajian di Malaysia.

“Penghargaan ini sebagai tanda terima kasih atas jasa Mustapha yang banyak membantu kami sejak 20 tahun lalu tanpa rasa jemu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Mustapha berkata, beliau tidak menjangkakan penghargaan tersebut dan terharu dengan penghormatan yang diberikan penduduk kampung itu.

Katanya, selama 20 tahun melakukan kebajikan di kampung itu, beliau tidak menghadapi sebarang masalah dan sentiasa dibantu penduduk di situ untuk menjayakan misinya,

“Kampung ini menjadi pusat utama untuk aktiviti kebajikan saya. Walaupun hampir 20 tahun bergerak secara solo dari Malaysia, saya tidak pernah menghadapi masalah untuk membantu mereka,” katanya.

Mustapha sebelum ini menerima medal Mohasereivoith yang merupakan anugerah tertinggi yang disampaikan kerajaan Kemboja menerusi Perdana Menteri, Hun Sen kepada orang luar Januari lalu. - UTUSAN ONLINE