LEE LAM THYE

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, setiap orga­nisasi perlu mewujudkan budaya tempat kerja yang positif kerana kesihatan mental yang baik adalah penting bagi menyumbang kepada produktiviti dan keuntungan yang lebih tinggi kepada sesebuah organisasi.

“Kesejahteraan emosi pekerja akan memberi keuntungan yang baik (kepada sesebuah organisasi) kerana ini dapat mengurangkan bilangan pekerja mengambil cuti sakit dan kurang insiden ketidakhadiran serta presenteeism.

“Ketidakhadiran adalah apabila seorang pekerja berniat atau sengaja tidak pergi kerja dengan kerap, manakala presenteeism adalah apabila pekerja datang bekerja walaupun sakit atau mengalami stress yang melam­pau. Kedua-duanya boleh mem­beri kesan negatif kepada organisasi dari segi produktiviti dan prestasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tinjauan Kesihatan Kebangsaan Morbiditi Malaysia (NHMS) 2015 mendapati 29.2 peratus orang dewasa di Malaysia me­ngalami penyakit mental.

Tambah Lam Thye, pekerja yang tekanan juga boleh menyum­bang kepada kadar kemalangan dan kecederaan lebih tinggi semasa bekerja apabila mereka tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka.

Ada majikan dan pengurus yang menyebabkan tekanan di tempat kerja ke­rana mereka menafikan mewujudkan pekerja keseimba­ngan antara kerja dan kehidupan yang amat diperlukan untuk mengekalkan kesihatan mental po­sitif bagi pekerja, katanya.

“Semua organisasi perlu mengambil kira tekanan yang berkaitan dengan pekerjaan dan risiko psikososial sebagai sebahagian daripada strategi OSH untuk mengurangkan kemala­­ngan dan kecederaan di tempat kerja.

“Beban kerja berlebihan, kon­flik interpersonal, pendera­an fizikal dan psikologi, gangguan seksual, kurang sokongan daripada pihak pengurusan tinggi dan komunikasi yang tidak efektif menyumbang kepada risiko psikososial di tempat kerja, yang boleh membawa kepada tekanan, burnout dan kemurungan,” katanya.

Tambah beliau, gabungan usa­ha majikan dan kerajaan akan menjadi lebih berkesan dalam mewujudkan tenaga kerja yang sihat dan produktif, dari segi mental dan fizikal.

“Kempen dan pendidikan mengenai kesihatan mental, sama ada di peringkat kebangsaan, negeri atau organisasi, perlu dilaksanakan seperti kempen kesedaran awam yang memberi tumpuan kepada kepentingan mengekalkan kesihatan fizikal,” katanya.