Penduduk sekitar Kampung Tengah Hilir, Gedong menarik nafas lega apabila buaya itu memakan umpan yang dipasang sejak awal minggu lalu.

Penghulu kampung, Abang Ronee Abang Sa'adili berkata, reptilia tersebut tersangkut pada umpan kera dan ditangkap kira-kira pukul 7 pagi.

Katanya, buaya jantan daripada spesies katak itu ada memakan umpan, namun dapat melepaskan diri beberapa hari lalu.

“Penduduk kampung kemudiannya meletakkan lagi umpan kera bagi memastikan reptilia itu dapat ditangkap.

“Selepas terjerat dalam perangkap, beberapa penduduk kampung terus menangkap dan mengikat tali pada buaya itu untuk dibawa naik ke darat,” katanya ketika dihubungi Ming­guan Malaysia di sini.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, bagaimanapun, reptilia itu mati tidak lama kemudian.

“Kawasan ini memang ba­nyak buaya dan kami percaya ini adalah buaya yang membaham seorang penduduk kampung pada September lalu.

“Malah pada minggu lalu juga seorang penduduk terkejut selepas melihat reptilia itu sedang bersantai di bawah rumahnya,” ujarnya.