Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, buaya spesies tembaga sepanjang hampir lima meter itu dijumpai oleh orang awam pada pukul 7.36 pagi.

Beliau berkata, bimbang reptilia ganas itu mengancam keselamatan, orang awam segera menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan menangkapnya.

“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang diketuai Mohd. Ali Mohd. Salleh bersama empat anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Seberang Kedai, PBS Pengkalan dan PBS Kabima bergegas ke lokasi yang terletak dua kilometer dari balai bagi menjalankan operasi menangkap buaya tersebut.

“Mereka yang tiba di tempat kejadian pada pukul 7.39 pagi mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menangkap buaya yang dipercayai tersesat dari su­ngai berhampiran kawasan perumahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ling Hii berkata, setelah berjaya ditangkap, buaya terbabit diikat bahagian kaki dan ditutup kepalanya.

Beliau berkata, bomba terpaksa menggunakan forklift milik orang awam untuk mengangkat dan memasukkan buaya itu ke dalam lori untuk dibawa ke BBP Limbang sementara waktu sebelum diserahkan kepada Sarawak Forest Corporation (SFC) untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.21 pagi tetapi kawasan persekitaran terus dipantau berikutan kebimbangan penduduk terhadap kekerapan kes buaya sesat di negeri ini sepanjang minggu ini.

Difahamkan, buaya yang ditemukan banyak tersesat ke kawasan penempatan penduduk adalah dihanyutkan oleh banjir baru-baru ini.