Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, ia penting bagi membolehkan siasatan dilakukan dan sekiranya di bawa ke mahkamah, keputusan yang dibuat kelak boleh menjadi panduan berkaitan kesalahan pilihan raya kepada suruhanjaya itu pada masa depan.


Katanya, mulai 12 tengah malam tadi hingga 5.30 petang hari ini, kempen meraih undi tidak boleh dilakukan lagi.


“Saya tidak tahu kalau ada calon yang bertanding masih berkempen meraih undi. Tolong buat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Nyatoh dekat Rantau di sini sebentar tadi.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbualan calon Pakatan Harapan (PH), Dr. S. Streram yang dilaporkan masih berkempen meraih undi selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rantau pagi tadi.


Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau itu didakwa meminta pengundi yang keluar hari ini mengundi PH.


Azhar Azizan berkata, jika Streram benar-benar melakukan perbuatan itu termasuk ada rakaman video, maka laporan polis patut dibuat.


Beliau juga membuat gesaan yang sama ketika diminta mengulas sama ada isyarat tangan yang ditunjukkan kepada pengundi di pusat pengundian untuk memberitahu nombor calon yang patut dipangkah dalam kertas undi adalah satu kesalahan.


“Saya pun tidak tahu hendak jawab. Kalau kita hendak jadikan ia isu, sila buat laporan polis. Kalau tanya sekarang, saya pun tidak tahu jawab soalan itu,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE