Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, walau ba­gaimanapun, sehingga kini pihaknya masih tidak me­nerima sebarang aduan dan laporan berkenaan isu tersebut dan berpendapat ia hanya direka oleh individu yang tidak bertanggungjawab bagi memburuk-burukkan kerajaan baharu.

“Sekiranya benar memang ada, tampil sahaja kehadapan, tindakan susulan akan dibuat segera.

“Jika setakat ingin menularkan dalam media sosial tanpa mendedahkan identiti, kami menganggap berita tular tersebut sengaja diada-adakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, isu penjawat awam berstatus kontrak termasuk di Jabatan Perdana Menteri ditamatkan perkhidmatan serta-merta ekoran perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tular dalam media sosial.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, langkah memberhentikan pekerja kontrak dengan menamatkan perkhidmatan mereka merupakan tindakan yang tidak masuk akal.

“Setakat ini saya difahamkan kami masih belum menerima lagi laporan tersebut. Namun, sekiranya benar ada ini merupakan satu bentuk penganiayaan kepada pekerja sendiri memandangkan kita bakal menyambut hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Justeru, saya menyeru individu terbabit untuk melaporkan masalah atau isu kepada CUEPACS agar hak mereka dapat dikembalikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau meminta agar rakyat menghormati keputusan yang telah dibuat dalam PRU-14 dengan tidak menimbulkan sebarang provokosi yang boleh menjatuhkan kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan.