Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud berkata, etnik berkenaan merupakan manusia biasa yang juga memerlukan pembelaan.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersatu hati, menyokong dan membantu masyarakat Ro­hingya yang seagama dengan kita.

“Diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan dapat mencari penyelesaian bagi membantu etnik Rohingya dalam kunjungannya ke Amerika Syarikat (AS),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas sambutan Hari Ke­bangsaan Tabika dan Taska Permata Kemas serta program #[email protected] di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri, Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi.

Khairuddin menambah, melihat kepada kekejaman yang berlaku, bukan sahaja golo­ngan dewasa di negara ini, malah kanak-kanak juga prihatin dan simpati dengan nasib yang me­nimpa etnik Rohingya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sambutan Hari Kebangsaan perlu membabitkan semua peringkat masyarakat bagi me­ningkatkan semangat cintakan negara.

“Semangat cintakan kepada negara ini perlu dipupuk sejak kecil dan generasi muda hari ini perlu menyertai pelbagai kegiatan seumpama itu bagi menye­marakkan kecintaan mereka terhadap tanah air,” katanya.