Dia yang rugi menanggung yuran pengajian selama lima tahun sebanyak RM18,000 kecewa kerana program pengajiannya tidak mendapat pengiktirafan dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) (dahulu dikenali sebagai Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang ditubuhkan pada 1997.

Ida melanjutkan pelajaran di sebuah kolej swasta di ibu kota sekitar tahun 2005 dalam bidang penyiaran dan dia mendapat tahu mengetahui status MQA semasa dalam tempoh pengajian.

“Pada awal sesi pengajian, saya pernah bertanya kepada pihak kolej namun, mereka berdiam diri dan saya terpaksa menyelesaikan baki pengajian kerana telah membayar yuran.

“Disebabkan pelbagai masalah dihadapi, saya terpaksa melanjutkan pengajian sehingga lima tahun dan tamat pada 2009. Sehingga kini program pengajian yang saya ambil di kolej terbabit masih belum mendapat pengiktirafan MQA,” katanya ketika ditemui S2.

Jelasnya, sepanjang tempoh pengajian itu, pelbagai masalah berlaku termasuk bangunan kolej mengalami kerosakan teruk sehingga menyebabkan pelajar diarahkan keluar.

“Kami ditempatkan di sebuah kolej sementara di ibu kota dan selepas beberapa bulan, kami dihantar ke sebuah rumah kedai untuk menyambung pengajian,” katanya.

Lebih menyedihkan, setelah menamatkan pengajian, tiada sebarang majlis konvokesyen diadakan untuk graduan kolej terbabit.

“Saya berasa serba salah dan sedih sebab keluarga teringin melihat saya naik ke pentas untuk menerima diploma. Namun, tiada majlis konvokesyen diadakan kerana masalah dalaman kolej serta program pengajian tidak diiktiraf MQA.

“Walaupun sepatutnya saya menerima diploma tetapi pihak kolej hanya memberi sijil tamat belajar kepada kami,” katanya yang terpaksa menggunakan sijil tersebut untuk memohon pekerjaan.

Dia yang kini bertugas di sebuah syarikat produksi memberitahu, majikannya tidak memandang sijil yang diterimanya itu kerana lebih mementingkan pengalaman bekerja sebelum ini.

Ida menasihatkan pelajar yang ingin memasuki institut pengajian tinggi (IPT) supaya menyelidik dan menyiasat terlebih dahulu program 
yang mahu diambil bagi memastikan mempunyai pengiktiran MQA.