Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat BSN, Arida Ariffin berkata, pihaknya telah menjalankan migrasi sistem pada 31 Ogos hingga Selasa lalu bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan serta operasi perbankan.

Kata beliau, migrasi sistem yang melibatkan lima komponen utama antaranya pengesahan data dan ujian kewarasan (sanity) itu selaras dengan keperluan landskap kewangan masa kini.

“BSN telah memaklumkan kepada pelanggan mengenai migrasi sistem ini melalui sistem pesanan ringkas (SMS), media sosial, laman web, siaran media, pengumuman di radio dan berita, penyata akaun dan notis sejak Julai lalu.

“Proses ini telah selesai sepenuhnya pada Selasa lalu dan operasi perbankan telah dibuka secara berperingkat kepada pelanggan bermula pukul 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, berikutan sistem perbankan baharu itu melibatkan keseluruhan sistem teras dan utama BSN, ia memerlukan sedikit masa untuk stabil.

Jelas beliau, sedikit ganguan terhadap sistem dijangka berlaku namun mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit cek (CDM) BSN seluruh negara telah beroperasi sepenuhnya.

“Aktiviti perbankan seperti pengeluaran, deposit, pembayaran bil atau pinjaman, remit dan transaksi lain dapat dilaksanakan sepenuhnya di seluruh rangkaian BSN secara berperingkat,” katanya. - UTUSAN ONLINE