Itulah keluhan seorang warga emas yang hanya ingin dikenali sebagai Pak Chot, 70, mengenai pelbagai syarat dikenakan untuk proses kemas kini atau memohon Bantuan Sara Hidup (BSH).

Katanya, antara syarat yang dilihat ‘tidak masuk akal’ bagi warga emas sepertinya adalah perlu menyediakan sijil nikah atau sekurang-kurangnya surat beranak anak.

Selain itu katanya, antara syarat lain yang merumitkan apabila isterinya yang tidak pernah mempunyai akaun bank selama ini perlu membuka akaun baharu bagi melayakkan mereka menerima bantuan tersebut.

“Mana saya hendak cari sijil nikah yang berpuluh-puluh tahun lamanya. Difahamkan kalau tidak ada sijil nikah perlu disertakan surat beranak anak. Anak saya kini sudah berusia 40 tahun, entah ada lagi atau pun tidak, terpaksa kena cari semula,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dahulu tidaklah sesukar sekarang meskipun jumlahnya lebih banyak.

Pesawah, Fauzi Mustapa, 35, pula berkata, syarat yang dikenakan untuk pemohon BSH lebih rumit berbanding dulu.

“Saya harap kerajaan dapat mempermudahkan proses permohonan ini kerana kebanyakan penerima adalah penduduk kampung. Janganlah sukarkan mereka dengan pelbagai syarat dikenakan.

“Pada peringkat awal dahulu, saya lihat pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kangar penuh dengan orang termasuk warga emas yang pergi untuk berurusan berkaitan permohonan atau kemas kini BSH ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar, Kedah hari ini mendapati rata-rata pemohon turut meluahkan masalah serupa apabila menyifatkan proses permohonan bantuan itu sebagai sukar dan meremehkan.

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Zin juga terbeban dengan syarat meminta pemohon menyediakan sijil nikah yang amat menyukarkan pasangan berusia sepertinya yang telah berpuluh-puluh tahun melangsungkan perkahwinan.

Pesara kerajaan, Che Abdul Halim Awang, 64, pula berpendapat, syarat yang dilakukan itu memang bagus jika mahu menapis penerima-penerima yang tidak layak tetapi golongan se­perti mereka turut terkena tempias.

“Kasihan warga-warga emas di kampung, ada yang kata sudah tidak mahu mohon BSH kerana prosesnya kini lebih sukar, kata mereka buat apa susah-susah kalau jumlah bantuan pun telah dikurangkan,” katanya.

Sementara itu, Azizah Shahid, 66, berkata, dia beruntung kerana anak-anak membantunya untuk mengisi borang permohonan BSH termasuk menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan.

“Dokumen yang diminta memang saya ada simpan lagi, jadi tidak jadi masalah sangat tetapi ada yang saya dengar tiada dokumen-dokumen penting kerana banjir dan sebagainya, itu susah sikitlah sebab nak kena buat semula demi mendapat bantuan sara hidup ini,” katanya.